GEORGETOWN - Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Ogos lalu.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim berkata, kenyataan Guan Eng yang menyifatkan penahanan Boon Poh sebagai haram itu didapati mencalar imej SPRM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyiasat kes rasuah di negara ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga dilihat berniat jahat dan cuba menjatuhkan kredibiliti SPRM.

“Tujuan laporan ini dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada benar kenyataan fitnah tersebut dibuat Guan Eng. Jika benar, beliau patut dituduh di mahkamah kerana kenyataannya itu amat serius.

“Ia juga berniat menghasut dengan memberi gambaran bahawa SPRM tidak mempedulikan undang-undang dengan membuat penahanan sembarangan. Oleh itu, kita minta polis segera menyiasat perkara ini kerana kenyataannya berbaur hasutan dan tidak hanya membiarkan kes ini tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Terdahulu, Rafizal bersama Naib Ketua Pemuda, Jasmin Noordin dan beberapa pemimpin Pemuda Umno Pulau Pinang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kira-kira jam 2 petang.

Pada 24 Ogos lalu, dalam sidang medianya di Komtar, Guan Eng dilaporkan menyifatkan penahanan Boon Poh pada 11 Ogos lalu berhubung sebuah kilang habuk kayu haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sebagai penahanan haram.

Sehubungan itu, SPRM dalam kenyataan meminta Guan Eng memohon maaf ke atas kenyataannya itu dan memberi tempoh 48 jam untuk permohonan maaf.

Guan Eng bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga kini.

Rafizal menambah, Guan Eng perlu bijak membezakan parti politik dengan agensi bebas apabila membuat sebarang kenyataan.

“Sebagai pemimpin kerajaan negeri, beliau sepatutnya dapat membezakan parti politik dengan agensi-agensi lain apabila beri kenyataan. Tugas SPRM adalah menyiasat kes rasuah, tidak ada kena mengena dengan politik,” katanya.