ALOR SETAR - Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi menambah bilangan pasar tani kekal yang terdapat di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya bersedia menyediakan tapak  untuk pasar tani kekal tersebut dengan  proses pembinaan yang akan diuruskan Fama sendiri.

“Pasar tani kekal itu akan memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan pengguna  serta ia akan  beroperasi pada setiap hari berbanding pasar tani biasa yang hanya  dibuka sekali hingga tiga kali seminggu.

“Saya lihat projek ini akan membantu peniaga-peniaga kecil untuk memasarkan produk jualan mereka di dalam satu bangunan yang  disediakan kerajaan dan FAMA,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini, hari ini.

Hingga kini, Kedah mempunyai empat pasar tani kekal iaitu di Guar Chempedak, Changlun, Sungai Petani dan Kuala Kedah.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada 400 keluarga yang dipilih oleh  Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu dan berjumpa dengan imam surau.

“Saya telah berbincang dan mendengar permasalahan yang diutarakan oleh imam dari enam surau yang berada di sekitar kawasan ini. Saya akan membantu  menyelesaikan masalah mereka dari segi pengurusan dan penambahbaikan surau-surau tersebut,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) terus menjadi peneraju dalam menawarkan harga barang keperluan asas yang lebih murah dan memastikan bekalan sentiasa cukup.
  • ALOR SETAR - Rakyat diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tuduhan pembangkang, kononnya Umno sengaja mengapi-apikan hubungan antara pihak Istana dengan pembangkang, apabila membangkitkan isu keturunan Tun Dr Mahathir Mohamad, isu lanun Bugis dan terbaharu status twitter Datuk Zaid Ibrahim berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
  • ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menafikan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Enggang di Sik disebabkan berlaku pelanggaran syarat oleh Menteri Besar Incorporated (MBI).
  • SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil inisiatif menganjurkan program Jom Makan Ubi Kayu bagi mempromosikan ubi kayu serta produk makanan berasaskan tanaman berkenaan.