ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan memberi imbuhan kepada Mohd Faiz Subri atas kejayaannya memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola  Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 di Zurich, Switzerland, pada Isnin lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, bagaimanapun berkata jumlah imbuhan tersebut tidak akan diumumkan pada masa ini, dan akan diberikan secara sekali gus kepada pemain kelahiran Kedah itu.

"Kita akan bagi imbuhan secara 'one-off' dan jumlah tak boleh sebut lagi, tunggulah," katanya selepas Majlis Penyerahan Cermin Mata "Dari Mata Turun Ke Hati" anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini .

Pada majlis itu, 500 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terpilih menjalani pemeriksaan dan menerima cermin mata secara percuma bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Strategi dan Komunikasi BSN, Kameel Abdul Halim.

Ahmad Bashah berkata kejayaan Mohd Faiz itu patut dibanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana bukan senang untuk mendapat pengiktirafan di peringkat dunia, dan pertama buat negara.

Selain imbuhan daripada kerajaan negeri, Mohd Faiz juga bakal menjadi penerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai (ASK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang akan disambut Ahad ini.

Jaringan yang disifatkan melanggar hukum fizik itu dilakukan Mohd Faiz, anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan imbuhan sebanyak RM50,000 kepada Mohd Faiz Subri atas kejayaannya memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, Switzerland, Isnin lepas.
  • JERLUN - Keluarga pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016, Faiz Subri mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi pemain kelahiran Ayer Hitam, Jerlun tersebut.
  • JERLUN - Cinta Faiz Subri kepada dunia bolasepak sejak kecil sehingga meraih pelbagai anugerah kejayaan di peringkat daerah, negeri sehingga negara dan kini antarabangsa disifatkan sebagai berbaloi.
  • JERLUN - Rakan-rakan sekampung Mohd Faiz Subri di Kampung Pida 6, Tok Kepak di sini berasa bangga dengan kejayaan Mohd Faiz yang merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.