GEORGETOWN - Kehidupan mewah seorang lelaki akhirnya terbongkar selepas dia ditahan sepasukan polis, 17 Oktober lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah kondominium yang disewanya di Pulau Tikus di sini Selasa lalu, kira-kira jam 6.50 petang selepas polis menerima maklumat awam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kediaman itu dijadikan stor menyimpan bekalan dadah sebelum ia dieksport ke negara jiran.

"Pemeriksaan di kediaman suspek berjaya menemui tiga bungkus plastik dipercayai dadah jenis syabu yang dibungkus dengan pembalut teh sebelum dibalut menggunakan kertas aluminium dan kemudiannya dibungkus dengan plastik jernih.

"Kesemuanya seberat 6.98 kilogram dan dianggarkan bernilai RM488,600 mengikut harga pasaran. Turut disita, barang kemas, wang tunai RM36,800, seutas jam tangan Rolex, tiga buah motosikal dan sebuah kereta jenis Volkswagen Passat. Nilai keseluruhan sitaan adalah RM294,989," katanya kepada media sebentar tadi.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun ujian saringan air kencingnya positif Methaphetamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan suspek direman sehingga 23 Oktober ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.