ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berdekatan surau di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, di sini, petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 4.03 petang daripada orang awam, memaklumkan seorang kanak-kanak dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan.

"Sejurus panggilan itu, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dalam masa 15 minit.

"Apabila sampai dilokasi, anggota bomba membuat pencarian menggunakan 'grapping iron' dan menjumpai mangsa pada jam 4.45 petang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa, Mohd Haziq Amsyar Shahril dijumpai pada jarak 15 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.