• Kaki tersepit bawah lori Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
1 /

SUNGAI PETANI - Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah yang terjadi terhadap seorang mangsa kemalangan yang nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Kejadian yang berlaku dekat bulatan berdekatan Taman Dahlia di persimpangan antara jalan ke Sungai Jagung dan Pekan Baru itu, melibatkan mangsa berusia 40-an tercampak ke bawah lori akibat kemalangan itu.

Menurut saksi, mangsa yang datang dari Pekan Baru, Sungai Petani ingin membelok ke kiri menghala ke Kampung Teluk sebelum bertembung dengan lori terbabit dalam kejadian kira-kira 7.50 malam kelmarin.

Difahamkan, walaupun tercampak ke bawah lori, mangsa masih sempat menghubungi ahli keluarga memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan.

Manakala, orang awam berdekatan menghubungi bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pegawai Bomba Kanan, Mohd Radzi Abdul Talib berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.50 malam dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.

Menurutnya, apabila sampai bomba mendapati, mangsa, seorang lelaki Melayu berusia 40-an berada di bawah lori akibat tercampak.

“Pemeriksaan mendapati, salah satu kaki mangsa tersepit dan tidak dapat dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang mengalami patah kaki dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dengan bantuan pasukan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kuala Muda.