ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki yang dibungkus dengan kain ditemui di tepi jalan berdekatan Kampung Pulai, Tokai di Pendang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, bayi perempuan dalam keadaan sempurna itu ditemui penduduk kampung yang melalui kawasan itu kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, penduduk kampung tersebut kemudian membuat laporan polis sebelum Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama jururawat bergegas ke lokasi.

“Terdapat beberapa kesan tompokan dipercayai darah ditemui dan bayi lelaki itu masih bertali pusat. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Arriz Sham berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi.