BUTTERWORTH- Kira-kira 100 kertas siasatan di bawah Akta Kerja 1955, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Pindaan 2017) dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 akan dibuka sebelum menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Pulau Pinang, Mohd Sazali Keteh, berkata sejak Januari hingga September ini, sebanyak 43 kertas siasatan dan kompaun telah diluluskan untuk pendakwaan oleh Penasihat Undang-undang JTKSM manakala 48 lagi kertas siasatan akan dihantar pada 15 Oktober ini.

"Kesemua kertas siasatan berikut dibuka atas pelbagai kesalahan melanggar Akta Kerja 1955 (Akta 265), manakala tiga lagi kertas siasatan baharu akan dibuka dan dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan di ibu pejabat JKTSM Putrajaya atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Pindaan 2017).

"Antara kesalahan-kesalahan yang dikesan ialah menjalankan aktiviti penyumberan, tidak mempamerkan nombor lesen di papan tanda premis, menjalankan urusan atau aktiviti di tempat yang tidak disebut di dalam lesen dan berkongsi premis," katanya kepada pemberita selepas Ops Agensi-agensi Pekerjaan Swasta (APS) di beberapa premis sekitar kawasan Seberang Jaya dan Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya disabitkan kesalahan, APS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Sazali berkata tujuan operasi itu adalah untuk membanteras aktiviti mana-mana APS yang tidak mempunyai lesen untuk merekrut pencari kerja serta mengesan kesalahan yang seringkali dilakukan oleh mereka.

"Seperti bulan lepas, sebuah APS telah dikenakan denda sebanyak RM24,000 di Mahkamah Majistret George Town atas empat pertuduhan melanggar Akta Kerja 1955...kita tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas kepada APS yang masih berdegil," katanya. -Bernama