ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu umat Islam menjiwai aspek kesantunan ummah dalam membawa misi rahmat di setiap lapisan masyarakat.

Baginda bertitah, umat Islam perlu bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka dan saling hormati atas dasar persaudaraan tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya jangan mementingkan diri sendiri, sehingga sanggup memusnahkan agenda penyatuan dan muafakat yang murni, serta membiarkan negara terancam, retak dan hancur angkara perbuatan manusia tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah tumpah darah berdaulat ini, di sinilah tempat tinggal, punca rezeki dan nadi kehidupan. Beta panjatkan doa ke hadrat ALLAH SWT, agar menjadikan Kedah bumi diberkatiNya, dilimpahi nikmat dan rezeki serta kesejahteraan bawah naungan rahmat dan kasih sayangNya,” titah baginda.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, yang berkenan berangkat ke majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di Wisma Darul Aman.

Turut berangkat, Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Toh Puan Bendahara Kedah, Puan Seri Nora Abdullah; serta Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Sultan Sallehuddin turut mengajak umat Islam menghayati tema Maal Hijrah, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, selain mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam menyantuni umat Islam dan bukan Islam.

“Nabi Muhammad SAW merupakan suri teladan, sentiasa meletakkan sikap kesantunan dalam asas perjuangan menegakkan agama ALLAH, baginda tidak pernah meminggirkan sahabat-sahabatnya walau dari mana bangsa keturunan, berbeza warna kulitnya,” titah baginda.