ALOR SETAR - Kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menggesa supaya menutup sekolah tahfiz kerana didakwa tidak memberikan masa depan kepada generasi baru Islam, disifatkan bercanggah dengan aspirasi pendidikan negara.

Pengerusi Smart IQ Quranic Centre, Syahrul Haninah Mohd Salleh berkata, kenyataan Zainuddin dilihat terlalu ekstrem selain memberi gambaran negatif dalam menilai sumbangan pelajar dan pengurusan sekolah tahfiz.

Menurutnya, pelajar sekolah lepasan tahfiz mahupun institusi tahfiz di Malaysia bukan seperti dahulu.

“Ramai pelajar lepasan tahfiz menjadi teknokrat dan profesional dalam pelbagai bidang seperti kedoktoran, kejuruteraan dan bidang profesional lain. Ramai juga menjadi pimpinan utama negeri dan negara malah berjaya memimpin masyarakat dalam sektor kerajaan, jabatan, NGO termasuk dikenali di persada antarabangsa, seperti Dr Muhammad Afifi Akiti, pensyarah di Universiti Oxford,” katanya.

Syahrul Haninah berkata, sekiranya mahu dilakukan penambahbaikan, semua pusat tahfiz boleh menerima teguran membina, namun bukan untuk meruntuhkan institusi itu.

“Ibarat jika ada kelemahan pada rumah itu, jangan diruntuhkan. Sebaliknya dilakukan penambahbaikan terhadap rumah itu. Jika diruntuhkan, untuk bangunkan semula belum tentu rumah baru itu sempurna. Begitu juga dalam institusi pendidikan berteraskan tahfiz, jika ada kelemahan, sama-sama kita bangunkan bukan meruntuhkan,” katanya.

Menurutnya, pusat pendidikan berorientasikan tahfiz kini bukan sahaja dipelopori individu, malah turut dilaksanakan kerajaan seperti sekolah menengah agama, Tahfiz Modul Ulul Albab (TMUA), Sekolah Berasrama Penuh berorientasikan Ulul Albab, MRSM Ulul Albab, serta pusat tahfiz kendalian yayasan serta kerajaan negeri.

“Ada juga pusat tahfiz dilaksanakan bawah NGO yang menambah baik pengajian tahfiz dengan kurikulum akademik dan pengajian Sains. Perkembangan sekolah tahfiz telah mengalami reformasi dan sambutan sangat memberangsangkan kalangan waris untuk menghantar anak mereka,” katanya.

Syahrul Haninah berkata, ini dapat dibuktikan dengan jumlah calon temuduga untuk memasuki sekolah tahfiz amat luar biasa sehingga pengurusan sekolah terpaksa membuat tapisan ketat.

“Kami menolak cadangan tersebut dan menggesa Zainuddin mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya.