PADANG BESAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) sedang meyusun atur sistem penarafan bintang sebagai penilaian tahap kualiti maahad tahfiz di negeri ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penarafan bintang itu akan menjadi  ‘kayu pengukur’ bagi menilai kepatuhan maahad tahfiz terhadap standard dan kualiti ditentukan.

“Beta berharap agar maahad tahfiz di Perlis akan menjadi contoh kepada maahad tahfiz yang lain sama ada dari aspek pengurusan, tadbir urus dan kurikulum yang cemerlang, kebolehpasaran pelajar serta persekitaran yang kondusif,” titahnya pada program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu  Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan 54/2017 di Madrasah Miftahul Hidayah Beseri dekat sini, malam tadi.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah semua maahad tahfiz di negeri ini adalah tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perlis 1988.

Jabatan Mufti Negeri Perlis juga sentiasa proaktif memberikan pandangan dan saranan ke arah memastikan pegangan dan dasar maahad tahfiz di negeri ini seiring dengan ‘Ahli Sunnah Wal Jamaah’, titahnya.

Menurut baginda, MAIPs pula bersedia memberikan bantuan seperti geran tahunan di bawah peruntukan ‘asnaf fisabilillah' sebanyak RM4,785,000 kepada Institusi Pendidikan Islam termasuk maahad tahfiz yang berdaftar dengan pihak JAIPs.

Titah Raja Muda, Institusi Pendidikan Tahfiz Al-Quran merupakan sebuah institusi yang signifikan kepada pengajaran dan pembelajaran berteraskan agama, justeru, kemuliaan pendidikan itu sewajarnya diangkat seiring dengan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan pendidikan.

“Pada masa sama, masyarakat seharusnya menyanjung tinggi segala bentuk usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak sama ada kerajaan, pertubuhan mahupun individu atau orang perseorangan dalam merealisasikan niat dan hasrat murni ke arah kewujudan sebuah maahad tahfiz yang berjaya,” titahnya.

Bagaimanapun, tambah baginda, niat dan hasrat murni itu perlulah selari dengan pengurusan yang profesional, terancang, selamat dan kondusif untuk pelajar supaya hasil daripada pengajaran di maahad tahfiz ini berhasil sepertimana yang dicita-citakan.

"Aspek keseimbangan dalam penyediaan kurikulum, infrastruktur dan prasarana hendaklah dititikberatkan supaya kebajikan pelajar terbela. Saya berharap tiada lagi peristiwa duka berlaku di sebahagian maahad tahfiz seperti kes pembulian, khianat, penipuan, penyelewengan dan pergaduhan bahkan kecuaian sehingga meragut nyawa insan tak berdosa," tambah baginda.

Dalam pada itu, titah baginda, para pelajar dan warga maahad tahfiz perlulah diberi latihan dalam menghadapi saat-saat getir seperti kebakaran, bencana banjir, ribut dan lain-lain situasi kecemasan.

"Selain aspek keselamatan, masyarakat perlulah memberikan  sokongan padu dalam memastikan Institusi maahad tahfiz terus subur seiring gelombang perubahan pendidikan semasa," tegas Raja Muda. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR PONGSU - Masyarakat digesa mengubah persepsi negatif terhadap usaha pelbagai pihak mewujudkan maahad tahfiz dan sekolah agama.
  • TUMPAT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diminta untuk mempercepatkan pemeriksaan keselamatan terhadap premis yang terlibat dengan pengajian agama di negeri itu terutama pusat tahfiz.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu setakat ini telah memeriksa sebanyak 12 daripada 47 maahad tahfiz dan selebihnya dijangka akan selesai diperiksa menjelang hujung tahun ini.
  • KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta semua pihak tidak menyalahkan pusat tahfiz semata-mata jika berlaku sebarang kecelakaan yang meragut nyawa termasuk kes terbaharu di Kuala Lumpur melibatkan 23 maut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.