KULIM - Penapis air hujan Keep Free (K-Free) hasil inovasi sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) kini semakin mendapat tempat dalam kalangan syarikat pemaju perumahan.

Penolong Jurutera Awam Jabatan Kejuruteraan MPKK, Farah Izah Abu Hassan berkata sejak diperkenalkan pada tahun lalu kepada umum pulangan terhadap jualan K-Free telah mencecah lebih RM500,000 setahun.

Menurutnya, penggunaan produk ini bukan hanya mendapat permintaan di kalangan syarikat binaan tetapi kini masjid dan pejabat kerajaan juga sudah mula menggunakannya.

“Kita lancarkan pada tahun lalu setelah berjaya memenangi beberapa pertandingan. Sehingga kini jualannya telah cecah lebih 100 unit.

“Paling banyak pihak pemaju atau syarikat binaan yang membuat tempahan untuk diletakkan di rumah yang baru dibina.

“K-Free akan membantu orang ramai menjimatkan penggunaan air untuk kerja domestik seperti mencuci pinggan dan kain,” katanya.

Menurutnya, komponen penapisan air hujan ini juga mudah dipasang dan harganya sangat berbaloi untuk dimiliki.

“Harga hanya RM400 setiap satu, malah sangat mudah dipasang tanpa perlukan pakar. Cara penyelenggaraannya juga mudah yang penting mampu memberi penjimatan maksima,” katanya.