NIBONG TEBAL - Hasrat seorang pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan masih samar apabila dia kini terlantar di atas katil selepas terlibat dalam kemalangan pada 24 September lalu.

Bapanya, Abdul Malik Abdul Rahman, 49, berkata, ketika kejadian, anaknya, Mohd Aiman Faris Abdul Malik, 16, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakannya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mengakibatkan anaknya koma dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Doktor beritahu anak saya cedera serius pada bahagian kepala dan sehingga ke hari ini dia masih belum sedarkan diri.

"Selain kepala, kaki anak juga cedera parah," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal di rumahnya di Sungai Bakap, baru-baru ini.

Abdul Malik yang mengusahakan warung roti canai berkata, sebelum ini, anak lelakinya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Valdor akan membantunya di gerai setiap kali pulang dari sekolah.

"Sekarang kami perlu tanggung perbelanjaan tambahan kerana anak saya bergantung kepada susu khas yang disalurkan melalui tiub.

"Harga susu berkenaan agak mahal kerana dalam tempoh tiga hari, saya belanjakan kira-kira RM160 atau lebih kurang RM900 sebulan dan lampin pakai buang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesham Ismail berkata, pihaknya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga berkenaan.

“Saya telah menghubungi ZPP dan membawa wakil JKM melawat Mohd Aiman Faris pada hari ini, saya berharap bantuan segera dapat diberikan selain memohon sumbangan pihak swasta,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Abdul Malik di talian 013-4303914.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA BERANG - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Terengganu berjaya membantu empat pengawas peperiksaan yang membawa kertas peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jeneris, awal pagi semalam setelah laluan ke sekolah tersebut ditenggelami banjir.
  • SUNGAI PETANI - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir akan diberi kelayakan penempatan khas bagi mengelakkan peperiksaan yang dihadapi, terganggu.
  • SEREMBAN - Kagum dengan semangat Puteri Jeslina Natasha Mior Azlan Shah, 17, yang gigih untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun kini derita menghidap kanser tumor di saraf tunjang tahap tiga, telah mendorong Kelab Komuniti Prihatin membantu remaja berkenaan.
  • JOHOR BAHRU - Seorang bapa tunggal gigih membesarkan empat cahaya matanya, sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik.