BATU UBAN - Penduduk Batu Uban kini dalam dilema gara-gara imej perkampungan paling tua di negeri ini sudah semakin terhakis.

Pengerusi Kariah Masjid Batu Uban, Sk Abdul Aziz Sk Mohamed berkata, dari jauh kampung berkenaan hanya dikenali dengan imej perumahan ‘Twin Tower’ sahaja.

“Tapi bila ada orang kata di situ ada kampung, orang luar akan terus bertanya ada kampungkah di situ,” katanya yang merupakan antara individu yang mempunyai susur galur Nakhoda Intan iaitu individu pertama yang membuka perkampungan Batu Uban.

Menurutnya, Nakhoda Nan Intan pada masa itu merantau ke Pulau Pinang bersama dua lagi bahtera.

“Nan Intan singgah di Batu Uban sementara satu lagi bahtera, yang juga dikenali dengan Nakhoda Bayan singgah di Bayan Lepas. Bahtera ketiga iaitu Nakhoda Kecil singgah di Jelutong.

“Beliau merupakan orang paling awal membuka Pulau Pinang dan bukannya Francis Light yang dikatakan membuka Pulau Pinang pada 1786.

“Dengan kata lain, Batu Uban adalah petempatan, pelabuhan dan tempat bersejarah paling awal sebelum era penjajahan Pulau Pinang pada 1786 masihi,” katanya.

Kini Batu Uban mempunyai tiga kampung termasuk Kampung Belacan, Kampung Masjid dan juga Kampung Tengah.


Mohon warta sebagai Kampung Warisan

Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim memaklumkan sehingga kini sudah dua kali beliau memohon Kampung Batu Uban segera diwartakan sebagai Kampung Warisan.

Bagaimanapun, permohonan itu sudah diserahkan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan kemudiannya dibawa ke pengetahuan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, namun sehingga kini belum ada maklum balas.

Menurutnya, Kampung Tanjung Tokong sudah diisytiharkan sebagai Kampung Warisan, namun kampung tertua seperti Batu Uban sebaliknya masih belum diiktiraf.

“Kami tidak kecewa tapi mungkin ada pihak terlepas pandang, sedangkan kampung ini mempunyai masjid yang berusia ratusan tahun.

“Saya berharap supaya kampung ini akan lebih diberi perhatian supaya nilai warisannya tidak terhapus begitu sahaja,” katanya.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak yang sudah meminta supaya Kampung Batu Uban segera diwartakan sebagai zon warisan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Batu Uban, Mohamad Othman Nordin berkata, gesaan supaya meminta hak warisan itu disegerakan bagi mengelakkan sebarang projek terus dibangunkan di situ.

Menurutnya, kini hanya terdapat 250 rumah penduduk kampung, sementara yang lain adalah rumah pangsa dan juga bangunan mewah.

“Oleh itu, kami mahu supaya kampung Melayu paling lama di sini dapat dikekalkan dengan baik,” katanya.

Mohamad Othman berkata, satu ketika dahulu dek kerana perdagangan yang pesat, ramai penduduk Perlis berhijrah ke situ, namun setelah ratusan tahun generasi itu semakin lenyap.

Sementara itu, Iszuree berkata, seorang pensyarah juga pernah menggesa pihak berkenaan supaya Batu Uban dijadikan sebagai pusat maklumat sejarah dan warisan hidup Pulau Pinang.

Malah dalam gesaan berkenaan, beliau meminta supaya hubungan pelabuhan Batu Bara di Sumatera Utara dihubungkan kembali dengan Batu Uban.

“Ini kerana satu ketika dahulu Batu Uban mempunyai perhubungan yang akrab dengan Batu Bara bermula awal 1700 lagi.

“Nakhoda Nan Intan dan Dato’ Jenaton berangkat dari Payakumbuh ke Batu Bara dan kemudian ke Batu Uban.

“Dengan itu perancangan Batu Uban hendaklah mengambil kira isu pemuliharaan tempat dan penduduk,” katanya.