BALIK PULAU - Golongan ibu tunggal di daerah Barat Daya Pulau Pinang digesa mendaftar dengan Persatuan Ibu Tunggal Daerah Barat Daya, Balik Pulau bagi memastikan nasib mereka terbela.
   
Penaung Persatuan Ibu Tunggal Daerah Barat Daya Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata persatuan itu akan berperanan sebagai medium kepada mereka untuk mendapatkan bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan.
   
"Sebelum ini mereka ada masalah untuk tolong ibu tunggal kalau bergerak sendiri. Selalunya mereka tidak dapat bantuan (jika bergerak sendiri). Orang akan pandang mereka nak ambil kesempatan.
   
"Jadi, selepas dah lama bergerak, kita cadangkan tubuh persatuan ibu tunggal di daerah ini. Masyarakat di sini agak terpinggir sedikit, orang tidak perasan. Dengan adanya persatuan ini kita dapat bantu ibu tunggal ini sebagai bentuk kumpulan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persatuan itu, di sini hari ini.
   
Beliau berkata setakat ini, lebih 1,000 ibu tunggal di daerah itu telah mendaftar dengan persatuan tersebut dan berharap lebih ramai lagi akan mendaftar memandangkan terdapat kira-kira 6,000 ibu tunggal di daerah berkenaan.

Mengulas lanjut, Shah Headan berkata Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersetuju untuk menjalankan satu kaji selidik berhubung masalah dan bantuan yang diperlukan oleh ibu tunggal di daerah itu.
   
"Kita minta UniMAP buat kajian secara terperinci dan menyeluruh dekat semua ibu tunggal di kawasan Barat Daya ni. Buat satu kaji selidik, kertas kerja bagaimanakah nak bantu mereka, apakah permasalahan mereka ni," katanya.
   
Beliau berkata hasil kaji selidik itu akan dijadikan garis panduan oleh persatuan untuk mendapatkan bantuan yang boleh disalurkan kepada golongan berkenaan. - Bernama