ALOR SETAR - Pasangan suami isteri, Said Hassan dan Hasniza Hashim mohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung atau waris kepada anak angkat mereka, Muhammad Ezad Abdullah, 6, bagi mengemas kini sijil kelahiran dan urusan daftar persekolahan.

Hasniza berkata, Muhammad Ezad dilahirkan di Mersing, Johor oleh wanita berketurunan Thailand bernama, Maskah Kache Mat Isa, ketika berusia 29 tahun.

“Bayi itu diserahkan ibu kandungnya kepada kami ketika 12 hari.

“Masa itu kami memang mencari anak angkat, setelah dimaklumkan oleh kakak angkat suami, Habsah, kami setuju ambil Muhammad Ezad sebagai anak angkat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian yang dibuat dengan ibu kandung Muhammad Ezad, dia menyerahkan anaknya untuk dibesarkan bawah jagaan pasangan itu yang menetap di Kuala Sala.

“Maskah pernah beritahu yang dia tidak akan tuntut anak itu, kerana memang mahu diserahkan kepada keluarga angkat atas faktor tertentu.

“Kami gagal menjejaki dia kerana itulah kali pertama dan terakhir kami berjumpa,” katanya.

Hasniza berkata, tujuannya mahu bertemu Maskah adalah untuk mengemas kini sijil pendaftaran anak angkatnya, kerana didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Kami bimbang masa depannya terjejas kerana maklumat pada sijil lahir tak lengkap," katanya.