ALOR SETAR - Hujan ribut yang melanda Kuala Kedah petang semalam merosakkan empat buah rumah di perumahan awam Taman Sri Pantai.
   
Seorang ibu tunggal, Noor Fiza Taib, 47, berkata beliau kerugian hampir RM8,000 akibat bumbung rumahnya diterbangkan ribut dan peralatan dapur rosak terkena air hujan dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 3 petang.
   
"Saya seorang diri di rumah ketika ribut kuat yang disertai hujan lebat," katanya yang tinggal bersama dua anak perempuannya. Beliau kematian suami 12 tahun lepas.
   
Warga emas, Oon Siew Eng, 77, berkata beliau terkejut mendengar bunyi angin kencang beserta satu dentuman kuat kira-kira pukul 3 petang semasa berehat di ruang tamu rumah bersama tiga cucu.
   
"Kami kemudian melihat air mencurah masuk di bahagian tengah dan dapur rumah," katanya yang mentaksirkan kerugian kira-kira RM3,000.
   
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKKP) Taman Sri Pantai, Ku Ghazali Ku Sulaiman berjanji akan berusaha mendapatkan bantuan agensi-agensi kerajaan berkenaan untuk membaikpulih bumbung dan kerosakan lain empat rumah itu.
   
Katanya Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutholib Haron melawat mangsa lewat petang semalam dan menyampaikan bantuan makanan serta wang bagi meringankan bebanan mereka dan kain penutup sementara bumbung sumbangan Ketua Umno Bahagian itu, Datuk Latt Shariman Abdullah.  - Bernama