GEORGETOWN - Kes penularan murid penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri Pulau Pinang semakin serius apabila sebuah sekolah lagi ditutup.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phor Tay ditutup semalam selepas enam kelasnya ditutup sebelum itu.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan fasiliti berada dalam keadaan baik.

"Walaupun peratusan kes meningkat 56.47 peratus berbanding tahun lalu, namun ia masih terkawal. Tidak perlu bimbang.

"Cuma kita perlu kerjasama dari ibu bapa atau penjaga tidak membawa keluar anak mereka yang dijangkiti HFMD ke tempat awam," katanya ketika dihubungi tadi.

Semalam, dua buah sekolah ditutup di berikutan jangkitan penyakit HFMD di kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

SJKC Shih Chung dan Sekolah Antarabangsa Tenby diarahkan tutup sepenuhnya selepas jangkitan penyakit itu di kesan di kedua-dua sekolah terbabit.

Sementara itu, SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun masih dipantau untuk diambil keputusan.

Kesemua sekolah yang diarahkan tutup itu akan ditutup selama 10 hari iaitu bagi tempoh dua kali jangkitan virus.