PERAI - Larangan penjualan arak murah di pasaran perlu dikuatkuasakan dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan kerosakan akhlak berlaku.

Penyelaras Gerakan Anti Arak Murah, David Marshall berkata, kerajaan baharu perlu lebih serius dalam menangani isu ini berikutan semakin banyak kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual arak murah tanpa kawalan sehingga boleh dibeli remaja bawah umur.

Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan apabila terdapat arak dijual dengan harga serendah RM3, walaupun kandungan alkoholnya melebihi 38 peratus.

"Penjualan arak murah secara berleluasa juga dikatakan antara sebab berlakunya banyak masalah sosial, khususnya dalam kalangan remaja.

"Kini di pasaran terdapat lebih 300 jenis arak buatan tempatan berlesen dijual di bawah RM50 yang mengandungi 40 peratus alkohol, serendah RM3 bagi isipadu 125 milileter (ml) sebotol," katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama, Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy.

David berkata, kejadian kes kematian membabitkan seramai 19 individu di sekitar Lembah Klang selepas minum arak yang mengandungi metanol mengulangi sejarah apabila kejadian sama pernah berlaku di Lunas, Kedah pada 1981.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilapor berkata, tiada arak murah akan dijual di pasaran secara terbuka di seluruh negara, selepas 1 Disember 2017.

David yang juga Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, MPSP sebelum ini sudah meluluskan dasar bagi mengawal penjualan arak murah ini di kawasan Seberang Perai, selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri sihat.

Bagaimanapun, katanya, dasar berkenaan perlu dikuatkuasakan segera bagi mengatasi masalah sosial dan kesihatan.

Beliau berkata, menteri kesihatan  perlu segera bertindak menyelesaikan isu ini dengan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan 2016) serta penambahbaikan sewajarnya.