POKOK SENA - Masyarakat hari ini  perlu menghargai jasa guru dalam membimbing, membentuk dan menggerakkan pelajar menjadi seorang yang berguna pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, guru perlu mewujudkan semangat cinta ilmu  kepada murid-murid supaya mereka berminat untuk meneruskan belajar bagi mencapai kejayaan.

Katanya, Konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) adalah sangat baik kepada pelajar bagi mewujudkan kemahiran berfikir, kepimpinan, dwibahasa, etika dan spiritual tanpa meninggalkan budaya timur dan Islam .

“Melalui konsep itu guru dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mereka mempunyai kemahiran yang dapat  ditonjolkan. Ini adalah sesuai dengan sekarang yang mahukan pelajar serba boleh dalam alam persekolahan,” katanya semasa merasmikan Majlis Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Pokok Sena semalam.

Menurut Mahfuz, guru juga perlu bekerjasama dengan ibu bapa dalam mencapai kejayaan seseorang pelajar itu.

Hubungan serta kerjasama yang baik itu merupakan antara elemen yang membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah.

“Hubungan yang rapat ini membolehkan mereka dapat mengenali pencapaian pelajar  dan sebab itu ramai pelajar yang berjaya adalah hasil dari kerjasama baik guru dan ibu bapa,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah  guru besar SK Pokok Sena, Roni Mustafa dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) , Abu Bakar Abd Talib.