• Harga kereta kabel sebelum dicadang naik oleh Kerajaan Negeri. Harga kereta kabel sebelum dicadang naik oleh Kerajaan Negeri.
1 /

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri meluluskan cadangan untuk mengenakan caj RM3 kepada setiap pengunjung yang merentasi hutan menggunakan kereta kabel di Gunung Mat Chinchang, Langkawi dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pengurusan kereta kabel kini diambil alih Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dari Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) iaitu anak syarikat milik penuh Syarikat Prasarana  Negara Berhad.

“Kita minta operator kutip (caj RM3) untuk pihak kita dan ini akan diuruskan oleh pihak kewangan negeri,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri menuntut Underwater World, Langkawi (UWWL) menjelaskan hutang duti hiburan yang tertunggak RM5 juta.

“UWWL sudah lama beroperasi dan di peringkat awal kita beri galakan untuk menarik pelancong dengan memberi pengecualian duti hiburan sejak 2004 hingga 2009.

Namun selepas tempoh berkenaan berakhir mereka tetap gagal membuat bayaran. “Kita akan ambil tindakan supaya mereka membayar hutang kerana sering bagi alasan nak tambah modal, nak kembang sana, sini sedangkan kita tahu  setiap tahun mereka dapat tarik pengunjung dan dapat ambil yuran masuk,” katanya.