ALOR SETAR - Kerajaan negeri menolak cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Kedah yang dicadangkan Pas, berlandaskan kepada dua perkara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun kedudukan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah berisiko dengan berbelah bahagi, iaitu masing-masing 18 kerusi kerajaan dan pembangkang, pihaknya yakin mampu beroleh majoriti mudah.

Menurutnya, setelah diperhalusi, Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Kedah menolak cadangan itu dan perkara itu sudah dimaklumkan secara tidak rasmi.

“Tiada perbincangan khusus untuk tubuhkan kerajaan perpaduan, cuma Pas ada cadangkan kepada saya namun sudah dimaklumkan Harapan menolak cadangan itu. Jika wujud kerajaan perpaduan,  apa yang berlaku adalah tiada proses semak dan imbang yang sepatutnya wujud apabila adanya pembangkang,” katanya, pada sidang media, selepas istiadat pelantikan dan angkat sumpah Exco Kedah, di Istana Anak Bukit, siang tadi.

Mukhriz berkata, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan setelah Pas sertai barisan kerajaan, ia menyebabkan hanya ada tiga wakil pembangkang dari BN, daripada keseluruhan 36 wakil rakyat.

“Sebab kedua penolakan cadangan itu adalah kerana Pas akan menjadi pihak yang mendominasi kerajaan kerana beroleh 15 kerusi Dun,” katanya, menolak andaian konon pelantikan Exco lewat diadakan bagi memberi laluan kepada perbincangan mewujudkan kerajaan perpaduan.

Bagaimana pun, katanya, perkara itu tidak dibincangkan secara serius dan hanya dibuat secara tidak rasmi.

Ditanya sama ada tiga wakil rakyat BN yang juga minoriti dalam Dun Kedah menyokong Harapan, katanya, ia sesuatu yang belum pasti.

Mengulas mengenai ketidakstabilan kerajaan negeri yang berbelah bahagi, kemungkinan menyukarkan undian usul dalam Sidang Dun, katanya, ia bukan masalah utama, sebaliknya isu kritikal adalah pemilihan Speaker.

“Kita perlu pastikan Speaker menyokong Harapan, ia juga dikira sebagai satu undi, bermakna Harapan beroleh 19 undi yang akan benarkan kita luluskan usul dengan majoriti mudah,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya akan berbincang dengan pembangkang untuk mendapatkan kerjasama bagi merestui calon Speaker agar pentadbiran lancar.

“Kita perlu elak berlaku keadaan tergantung dan tidak dapat capai keputusan dalam Dun, bagi mengelak diadakan semula pilihan raya negeri. Untuk kemudahan semua pihak, saya akan bincang dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, calonnya sudah dikenal pasti dan pelantikan akan diadakan dalam persidangan Dun Kedah, yang belum ditentukan tarikhnya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, agenda awal kerajaan negeri adalah untuk tunaikan janji dan tawaran Harapan pada PRU14.

“Janji itu akan kita laksana sebagai janji kerajaan negeri supaya seluruh jentera kerajaan komited realisasikan janji terbabit. Antara yang diberi tumpuan agihan bekalan air dengan wujudkan audit teknikal untuk mendalami punca dan penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan berbincang dengan Pusat sekiranya perlukan dana secukupnya agar ia dapat dilaksana segera.

“Ini termasuk pembinaan lima loji rawatan air, yang akan disemak semula kandungan perjanjian sama ada ia keperluan selain menilai kadar harga dan kepada siapa projek itu dianugerahkan. Kita akan teruskan mengikut kepentingan dan keutamaan,” katanya.

Mukhriz turut mengumumkan kerajaan negeri telah mengarahkan saman yang dikeluarkan Permodalan Kedah Berhad (PKB) oleh kerajaan negeri terdahulu terhadap penduduk di Bukit Pinang ditarik balik.

“Ini tindakan pertama kami selepas terima aduan dan permintaan dari penduduk,” katanya.