GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang amat berbesar hati sekiranya kerajaan persekutuan dapat memberi pinjaman bagi membolehkan projek transit aliran ringan (LRT) dan Pan Island Link (PIL) dilaksanakan serentak.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hasrat itu wujud selepas berlaku peralihan kuasa di peringkat kerajaan persekutuan pada PRU14 lalu.

“Kalau kita boleh dapatkan satu pinjaman (daripada kerajaan persekutuan) misalnya RM1 bilion, maka kedua-dua komponen iaitu LRT dan PIL dapat dilaksanakan serentak.

“Kalau tidak, kita cuma mampu untuk melaksanakan satu demi satu komponen. Satu projek akan memakan masa lima hingga enam tahun, kalau dua projek akan ambil masa lebih 10 tahun.

“Ini bermakna rakyat Pulau Pinang masih kena tunggu lama untuk kedua-dua komponen penting itu disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada sesi taklimat kepada ahli parlimen dan Adun bagi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang di Jen Hotel.

Menurutnya, pinjaman itu sekurangnya dapat menghadapi masalah kos pembinaan pada fasa permulaan nanti.

“Di samping kerja-kerja tebus guna laut itu, selagi tanah itu tidak dijual ataupun boleh disimpan untuk jangka masa panjang, maka nilai yang dapat dijana daripada tanah itu akan meningkat.

“Akhirnya kita akan dapat menampung kos kedua-dua projek itu. Kemungkinan akan ada surplus kepada kerajaan negeri, tetapi itu masih awal untuk dikatakan.

“Apa yang saya boleh katakan adalah dapatkan kelulusan dahulu, kemudian baru kita boleh cakap soal lain,” katanya.

Kon Yeow berkata, pada masa kini kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan persekutuan untuk skim rel iaitu Bayan Lepas LRT daripada Kementerian Pengangkutan dan cadangan tambakan laut di selatan bahagian pulau daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara dan Jabatan Alam Sekitar.

“Cadangan tambakan laut itu merupakan projek kerajaan negeri sebagai transformasi ekonomi negeri kepada sebuah hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang teguh.

“Dengan adanya tanah baru yang ditambak seluas 1821.08 hektar, pihak kerajaan negeri dapat menyediakan rumah mampu milik berkualiti di lokasi-lokasi strategik yang disambung oleh LRT, trem dan lebuh raya.

“Pelan induk komprehensif ini mampu menarik pelabur asing dan memacu kedinamikan ekonomi Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, projek tambakan laut ini akan dimiliki oleh kerajaan negeri untuk membantu dalam isu kekurangan tanah.

“Walaupun Pulau Pinang buat masa ini berjaya memelihara daya tarikan warisannya, mempunyai hab perindustrian unggul dan persekitaran perniagaan kompetitif, ia tetap hadapi pelbagai cabaran.

“Cabaran itu termasuklah dari segi meneruskan kesinambungan perkembangan ekonomi dan sosial yang berakar punca daripada kekurangan tanah yang kritikal di lokasi strategik untuk pembangunan mapan dalam jangka masa panjang,” katanya.