BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, berjaya mematahkan cubaan penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM840,999 kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Zulkifli Yahya berkata, pasukan Kolaborasi Pengurusan Sempadan (CBM) Bukit Kayu Hitam menahan sebuah kontena di Laluan Kenderaan Berat Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) kira -kira jam 4 petang.

"Sebaik kontena berkenaan memasuki kompleks ICQS, CBM telah memantau pergerakannya melalui kamera litar tertutup.

"Ketika itu, gelagat pemandu kelihatan agak mencurigakan selain imej imbasan didapati meragukan ketika melalui proses imbasan," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM  di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kontena berkenaan, pasukan CDM berjaya menemui kotak-kotak mercun dengan berat keseluruhannya sebanyak 20,755 kilogram.

.Zulkifli (empat,kiri) menunjukkan sebahagian mercun yang berjaya dirampas.

"Kotak- kotak ini ditemui di barisan kedua hingga ruang belakang dalam kontena berkenaan manakala lapisan pertama diletakkan kotak berisi air minuman bercetak tulisan negara Thailand.

"Ini adalah taktik yang digunakan oleh mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pemandu kontena berusia 48 tahun yang juga rakyat tempatan kemudiannya ditahan reman selama 14 hari  dan kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :