$entry.content.caption.value
SUNGAI BAKAP – Hampir 60 penduduk Kampung Jalan Stesen dekat sini mengeluh apabila jalan utama yang menghubungkan mereka dengan kawasan luar ditutup pihak tidak bertanggungjawab supaya projek yang diusahakan dapat berjalan lancar.
Penduduk, Saad Hashim, 56, berkata, projek pembinaan landasan kereta api berkembar yang giat diusahakan lebih dua tahun itu menyebabkan penduduk setempat sukar bergerak ke kawasan luar.
“Pihak bertanggungjawab tidak menyediakan jalan lain bagi membolehkan penduduk melaksanakan aktiviti harian dengan sempurna.
“Sudahlah begitu, kami terpaksa menggunakan jalan alternatif sendiri dengan menyusuri beberapa kampung untuk ke pekan atau kawasan luar,” katanya.
Menurutnya, jarak yang digunakan sebelum ini untuk menghubungkan penduduk dengan kawasan luar adalah sekitar 300 meter sahaja namun, sejak jalan utama di kampung terbabit ditutup, mereka terpaksa bergerak sejauh tiga kilometer untuk ke pekan dan kawasan luar.
“Keadaan itu menyusahkan kami dan diharap pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.
Bagi Ismail Yusof, 40, berkata, sejak jalan utama ditutup, anak-anak penduduk sukar untuk ke sekolah.
“Laluan alternatif yang digunakan tidak mempunyai lampu dan membahayakan kanak-kanak untuk ke sekolah pada awal pagi.
“Bukan itu sahaja, sekiranya berlaku kebakaran di kampung ini, saya pasti pihak bomba juga sukar untuk ke kampung ini berikutan jalan utamanya ditutup,” katanya.
Difahamkan, sebelum projek berkenaan dilaksanakan, pihak bertanggungjawab turut berjanji untuk membina jalan alternatif bagi memudahkan penduduk namun semuanya itu ibarat mencurah air ke daun keladi berikutan janji yang diungkapkan hanya ungkapan kosong.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Stesen, Munir Makhtar berkata, pada 2008 lalu, pihak bertanggungjawab berjanji untuk membina jalan alternatif bagi memudahkan penduduk.
“Namun, apabila projek berkenaan rancak dibangunkan, jalan alternatif buat penduduk tidak dibina manakala jalan utama turut ditutup.
“Bila dirujuk kembali, kita dimaklumkan bahawa lebihan tanah milik pemaju hanyalah 1.7 meter. Kita sebagai penduduk di sini tetap mahu tanah terbabit dijadikan laluan buat penduduk.
“Saya telah mengusulkan permasalahan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dan berharap dengan adanya campur tangan daripada Kerajaan Negeri masalah jalan utama penduduk dapat diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas berhubung masalah terbabit daripada pihak bertanggungjawab namun pegawai yang mengendalikan projek berkenaan gagal dihubungi.





