JITRA - Kira-kira 1,000 pekebun kecil getah di Kubang Pasu menggesa kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap RM4 sekilogram ke atas 50 peratus kandungan getah kering (KGK).

Gesaan ini susulan tekanan hidup dihadapi penoreh dan pemilik kebun apabila pendapatan mereka semakin merosot hari demi hari.

Pemilik kebun, Saarin Osman, 64, berkata, harga getah terkini turun antara RM2.60 sehingga RM2.71 iaitu tidak melebihi RM3, berbanding dua tahun lalu apabila harga pernah mencecah RM5.20 sekilogram.

“Isu harga getah bukan benda baru untuk dibangkitkan, sebab itu kami harap sangat isu ini dapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 nanti.

“Kami sangat hargai sebarang imbuhan seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 selama tiga bulan yang diluluskan baru-baru ini, tapi itu cuma untuk jangka pendek. Sedangkan kami perlu penyelesaian jangka panjang untuk stabilkan kehidupan kami,” katanya ketika ditemui di Pusat Jual Beli Getah Mukim Malau, di sini.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin (Prihatin) Kubang Pasu, pekebun kecil getah juga perlu dikecualikan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) input pertanian yang dikenakan ke atas baja, racun, mesin, peralatan serta lain-lain.

“GST ini menambahkan lagi tekanan kami. Yang paling teruk, pemilik kebunlah sebab kami yang tanggung semua kos.

“Sudah la hasil tak seberapa, GST pun kena lagi. Macam mana kami nak hidup kalau macam ni?” katanya.

Penoreh, Kaman Japar, 45, turut melahirkan kekecewaannya dengan janji ditabur Lembaga Getah Malaysia dan kerajaan sebelum ini.

“Macam tak ada keadilan untuk kami, bukan hari-hari kami boleh menoreh tambah-tambah kalau musim hujan.

“Sekarang ni harga barang dah naik. Kalau yang buat dua tiga kerja mungkin cukup nak tampung keluarga, kalau yang ambil upah menoreh semata-mata, memang tak cukup,” katanya yang mula menoreh pada penghujung 2013.

Tambahnya, bantuan yang kerajaan salurkan selama ini hanya diperuntukkan kepada pemilik kebun.

“Kami penoreh ni tak dapat apa pun. Saya tak tau la mungkin ada pernah dapat, tapi memang saya tak merasa lagi bantuan apa-apa.

“Saya harap sangat kerajaan dapat buka mata untuk jaga kebajikan kami sama seperti yang petani dan nelayan dapat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LABIS - Penoreh getah di daerah ini kini sedang berdepan penyusutan hasil sehingga hampir 50 peratus berikutan pokok mengalami keguguran daun yang menyebabkan getah menjadi kurang.
  • KOTA BHARU - Semua pihak yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa khususnya Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) bagi mengelak menanggung rugi jika hasil pertanian mereka dimusnahkan, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
  • NAKA - Paras harga getah di bawah RM2.50 sekarang sekali lagi menimbulkan kegelisahan penoreh apabila harga komoditi itu semakin menurun sejak akhir-akhir ini.
  • PASIR MAS - Pekebun kecil dan penoreh getah diingatkan supaya tidak terlalu ghairah berbelanja ketika harga komoditi itu sedang meningkat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.