NIBONG TEBAL - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis digesa mengambil tindakan terhadap seorang pengguna facebook kerana cuba mencetuskan ketegangan dengan kenyataan yang menghina Islam.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan minggu lalu sengaja mahu membakar api kemarahan umat Islam apabila dia turut menghina Nabi Muhammad.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan segera. Sebab itu saya minta SKMM menyekat akaun pengguna laman sosial itu.

“Tindakan tegas juga harus diambil polis bagi menjadi contoh kepada pengguna laman sosial lain supaya lebih berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan bukan cuba untuk menghancurkan keharmonian masyarakat negara kita pada masa kini,” katanya ketika ditemui media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Terdahulu, Mohd Norhiesam dan Pengerusi Belia 4B Nibong Tebal, Rokiman Shah Harun membuat satu laporan polis terhadap individu berkenaan.

Mohd Norhiesam juga menggesa kerajaan Pakatan Harapan tidak mengambil ringan perkara ini kerana mereka yang mula melaungkan mengenai kesamarataan dan kebebasan untuk bersuara.

Katanya, sekiranya tiada tindakan diambil kerajaan pihaknya bimbang akan berlaku ketegangan kaum dan semakin ramai pengguna laman sosial yang biadab dalam mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan sensitiviti.