BALING - Kira-kira 5,000 penduduk di sekitar Gunung Pulai berharap kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) dapat membatalkan projek kuari di gunung berkenaan.

Harapan itu disuarakan penduduk dari Mukim Dalam Wang, Mukim Pulai dan Mukim Sungai Limau.

Wakil penduduk, Mohd Sabri Mahmud, 51, berkata, tiada sebarang tanda projek diluluskan pada 9 Disember 2015 itu akan dihentikan.

“Seminggu selepas Aidilfitri baru-baru ini ada pihak datang pacak kayu di sepanjang sawah padi hingga ke gunung.

“Lima kampung termasuk sawah padi dan tanah penduduk akan musnah jika kuari diluluskan,” katanya ketika pertemuan penduduk dan Sinar Harian di Kampung Sungai Limau, semalam.

Katanya, lapan gua yang berpotensi dijadikan produk pelancongan turut akan menerima implikasi buruk.

“Gegaran kuari akan musnahkan Gua Kelambu, Gua Haji Putih, Gua Ikan, Gua Matahari, Gua Layang-Layang, Gua Tembus, Gua Siput dan Gua Kambing.

“Orang kampung tak akan pernah setuju kuari dibuat di gunung ini, tapi nak jadikan gunung ni kawasan pelancongan kami sangat setuju. Selain penduduk, kerajaan negeri pun akan dapat hasil,” katanya.

Penduduk, Ismail Md Hassan, 64, berkata, lebih 50 tuan tanah bendang termasuk tanah kampung tidak dimaklumkan tentang pertemuan bersama Pejabat daerah dan Tanah Baling, pemaju dan beberapa lagi agensi lain pada 30 Mei lalu.

“Tuan tanah ramai tak datang hari tu sebab tak dapat surat.

“Setiap benda ada saluran, kenalah ikut salurannya. Paling terkejut, kami dapat tau semua tanah nak diambil dah diwartakan. Macam mana boleh warta sedangkan tuan tanah tak tau?,” katanya.

Semakan Sinar Harian  mendapati, 25 lot sawah padi dan empat lot tanah kampung bergeran telah diwartakan pada 1 Mac lalu.

Katanya, sekiranya pihak berkaitan berdegil meneruskan operasi, perkara tidak diinginkan dibimbangi berlaku.

“Jika sampai tahap mesin dan jentera dibawa masuk, orang kampung pasti akan ambil tindakan.

“Jadi sebelum perkara tak elok berlaku, lebih baik projek ini dibatalkan. Kat mana kami nak duduk nanti jika operasi dibuat? Tu tak termasuk habuk dan penyakit lagi,” katanya.

Katanya, ekonomi penduduk yang majoritinya bergantung dengan sawah padi dan hasil tanaman lain turut akan terjejas.

“Setakat ini tak ada jaminan kami akan dapat ganti tanah atau pampasan. Cuma tuan tanah saja akan dapat pampasan, orang kampung tak dijanjikan apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat daerah dan Tanah Baling melalui surat kepada Exco Pelancongan Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew pada 3 Julai lalu tidak menyokong operasi tersebut.