BUKIT MERTAJAM - Cadangan pemansuhan bantuan sara hidup nelayan yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus diteliti dengan wajar dan jujur.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Afif Bahardin berkata, banyak ruang penambahbaikan bagi dasar ini boleh dilakukan demi membela kehidupan dan nasib para nelayan di seluruh negara.

Menurutnya, dasar bantuan sara hidup dalam bentuk pemberian wang tunai secara terus  harus dihentikan dan diganti dengan dasar yang lebih bersasar.

"Ada beberapa bentuk bantuan yang diterima para nelayan haruslah dibuat dengan telus dan lestari dalam masa yang sama berperanan untuk memberdayakan golongan nelayan. Apa jua bantuan yang ingin diteruskan haruslah dengan prinsip sebagai jaringan keselamatan sosial, bukan pemberian wang tunai semata-mata.

"Saya mencadangkan agar bantuan sara hidup nelayan dalam bentuk wang tunai digantikan dengan pemberian kad subsidi bantuan makanan dan barang keperluan,"katanya di sini semalam.

Dr Afif yang juga Adun Seberang Jaya berkata, pelaksanaan dasar itu boleh memastikan bahawa para nelayan dan keluarga mereka benar-benar mendapatkan barang keperluan asas daripada kedai-kedai terpilih mengikut had dan kelayakan yang ditetapkan.

Katanya, langkah ini bukan saja menepati ciri untuk mewujudkan jaringan keselamatan kepada para nelayan tetapi pada masa sama menjadikan ia satu program subsidi bersasar.

Beliau turut mencadangkan agar satu audit menyeluruh wajib dilakukan oleh LKIM dan Kementerian Pertanian terutamanya bagi memastikan satu daftar nelayan yang bersih dan dikemaskini sahaja yang digunakan. Langkah ini dapat mengurangkan salahguna serta ketirisan dari terus berlaku.

"Berkenaan subsidi minyak kepada nelayan, saya difahamkan bahawa kerajaan terdahulu menanggung kerugian sebanyak RM380 juta akibat penyelewengan subsidi bahan api yang dikhaskan untuk nelayan.

"Masalah ini berlaku kerana sikap tidak bertangungjawab sesetengah pihak dalam mengurus subsidi minyak serta tiada pemantauan yang tegas,"katanya.

Tambahnya, cadangan penggunaan kad pintar dengan kredit perlu diwujudkan agar pembiayaan subsidi minyak adalah lebih cekap dan telus serta mengelakkan ketirisan daripada berlaku. Langkah ini juga membolehkan hanya nelayan yang benar-benar layak menerima subsidi minyak diesel berdasarkan senarai daftar nelayan yang telah dikemaskini.

Beliau turut menggesa satu penstrukturan semula di antara Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Dua agensi kerajaan ini perlu digabungkan kerana tiada lagi keperluan untuk dua agensi yang berbeza mengurus hal-hal berkaitan nelayan.

"Penstrukturan ini adalah sebahagian daripada langkah bagi mengurangkan kos perbelanjaan mengurus selain mengelakkan pentindihan kuasa antara kedua-dua agensi sekali gus mampu meningkatkan hasil serta pendapatan nelayan,"katanya.