ALOR SETAR -  Kedah meletakkan sasaran 25 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, daripada sasaran itu, sukan tumpuan pingat emas adalah badminton, berbasikal, skuasy dan pelayaran.

"Selain itu, olahraga, pencak silat, tenpin boling, angkat berat, tekwando, lawn bowl, karate dan bola sepak,"katanya demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera kontinjen Kedah kepada Chef De Mission.

Sebelum itu, Mukhriz  menghadiri Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Kerajaan Negeri, di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, pagi tadi.

Menurutnya lagi, ganjaran tambahan menanti atlet Kedah yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam Sukma daripada pihak kerajaan negeri sebagai suntikan semangat mereka meraih pingat dan mencipta sejarah.

"Pemenang pingat emas untuk kategori individu akan memenangi wang tunai  RM3,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000). Bagi kategori bergu atau berdua, pemenang pingat emas memenangi wang tunai (RM2,000), perak (RM1,000) dan gangsa (RM750) setiap seorang.

"Ganjaran  kategori tiga hingga enam sepasukan, pemenang pingat emas diberikan wang tunai RM1,500, perak (RM750) dan gangsa (RM500) setiap seorang. Manakala, ganjaran berpasukan (7 orang ke atas) pemenang pingat emas  akan dihadiahkan wang tunai RM1,000, perak (RM500) dan gangsa (RM300), setiap seorang," katanya.

Pada kali ini, Mukhriz berkata, kontinjen Kedah  disertai seramai 666 anggota yang terdiri dari 469 orang atlet dan 197 orang pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 28 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Sukma Perak.

Katanya, beliau menaruh harapan tinggi terhadap kemampuan terhadap atlet muda yang dilihat mempunyai satu semangat juang yang tinggi untuk dalam memungut sebanyak mungkin pingat yang dipertandingkan.

"Maksud saya juga bukan bermakna atlet berusia tidak sehebat dulu.  Tetapi atlet-atlet muda kita nampaknya mempunyai satu semangat juang yang tinggi sekali," katanya.

Tambah beliau, kontinjen Kedah akan diwakili sebahagian atlet Kedah yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa.

"Mereka antaranya ialah pemenang pingat emas Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di dalam Sukan Pelayaran iaitu Muhammad Fauzi Kaman Shah,  S Sivasangari, ratu skuasy Kedah yang memenangi pingat perak dan gangsa di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

"Turut bersama, Aifa Azman merupakan pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 dalam skuasy," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kedah mengucapkan  tahniah kepada Pasukan Bolasepak Piala Presiden Kedah menjadi Naib Juara dalam perlawanan akhir Liga Piala Presiden 2018, baru-baru ini.

"Pasukan Bawah 21 Tahun ini juga bersama dalam Kontinjen Kedah bagi memikul tanggungjawab menghadapi Temasya Sukma kali ini. Semoga kekalahan 'final' baru-baru ini dapat menjadi pengajaran dan pemangkin bagi memburu pingat emas dalam acara bolasepak," katanya.