BALING - Galeri Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra yang menyimpan bahan sejarah Rundingan Damai Baling 1955 tidak dijaga rapi.

Individu terlibat rundingan, Jaafar Ismail,93, berkata, dia sedih apabila melihat keadaan galeri tersebut.

Jaafar yang mesra dengan panggilan Pak Lang berkata, pihak berwajib wajar memelihara galeri berkenaan daripada terus terbiar.

Menurutnya, ketika rundingan berlangsung galeri itu  rumah guru dan dijadikan bilik penginapan wakil Parti Komunis Malaya (PKM).

"Waktu Pak Lang kerja di sekolah ini dulu bangunan ini dijaga dengan cukup elok.

"Hari ini depa biar bangunan dalam keadaan macam ini. Tak boleh, patut kena jaga dengan elok," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, bahan sejarah terdapat di situ penting bagi generasi masa depan.

Antara ruang dalam galeri terbiar memerlukan baik pulih segera.

"Benda ini untuk anak cucu kita. Depa boleh tau di mana bilik rundingan, bangunan mana dijadikan bilik penginapan.

"Jika kita tak betul-betul jaga, nanti hilanglah semua ini. Pihak sekolah jika boleh berhubunglah dengan pihak bertanggungjawab supaya galeri ini terpelihara,"katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, kerajaan negeri atau agensi terlibat diharap dapat menyalurkan dana bagi membaik pulih bangunan tersebut.

"Rundingan Damai Baling pada 1955 ialah satu catatan penting bagi sejarah bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

"Sayangnya, tempat seperti itu tidak diberikan perhatian sewajar­nya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan disaran menambah watak di sebalik Rundingan Damai Baling 1955 dalam sukatan mata pelajaran di sekolah.

"Diharap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dapat beri fokus kepada perkara ini supaya sejarah penting itu dapat direkodkan.

"Rakyat akan lebih faham sejarah dan mereka boleh menjadikan individu masih hidup sebagai rujukan," katanya.

Tinjauan  bersama Jaafar dan Perkeba mendapati sebahagian ruang galeri mengalami kerosakan.