• Antara produk keluaran Danone Dumex yang ditarik dari pasaran. Antara produk keluaran Danone Dumex yang ditarik dari pasaran.
  • Antara produk keluaran Danone Dumex yang ditarik dari pasaran. Antara produk keluaran Danone Dumex yang ditarik dari pasaran.
1 /

SYARIKAT tenusu terbesar dunia yang berpusat di New Zealand, Fonterra, semalam, memohon maaf berhubung pencemaran bahan untuk produk tenusu keluaran syarikat itu.

Pencemaran itu menyebabkan penarikan balik pelbagai produk termasuk susu keluaran Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, John Key mempersoal mengapa Fonterra mengambil tempoh lama untuk mendedahkan pencemaran itu yang menjejaskan produk dihasilkan pada Mei tahun lalu dan berjanji siasatan akan dijalankan terhadap syarikat itu.

Danone Dumex kelmarin menarik balik susu Dumex Dupro, Mamex Cherish, Mamex Explore dan Bebelac dari pasaran sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam satu kenyataan, Danone Dumex memaklumkan Fonterra mengesahkan satu daripada ramuan susu itu mempunyai isu kualiti.

“Keselamatan pengguna keutamaan utama kami. Tiada produk yang diuji dan dijual di Malaysia menunjukkan sebarang pencemaran.

"Tetapi dengan maklumat terbaru yang diterima daripada Fonterra, kami membuat keputusan mengambil langkah berjaga-jaga dan menarik balik susu dengan nombor batch tertentu,” menurut kenyataan itu.

Fonterra sebelum itu memaklumkan, bahan pembuatan susu itu mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan pitam, cirit-birit, muntah, kelumpuhan dan juga kematian.

Antara produk yang ditarik balik di Malaysia adalah Dumex Dupro Step 2, Mamex Cherish Step 1, dan Mamex Explore Step 2 daripada nombor batch tertentu.

Menurut Danone Dumex, jika produk itu telah digunakan terhadap bayi dan terdapat tanda-tanda sakit, ibu bapa diminta menghubungi segera pakar perubatan.

"Penarikan balik itu hanya memberi kesan kepada nombor batch tersebut yang dijual di Malaysia dan tidak termasuk batch lain di bawah produk yang sama.

"Sekiranya orang ramai telah membuat pembelian bagi mana-mana keluaran di atas, pengguna boleh memulangkan susu itu ke tempat pembelian untuk pulangan wang," menurut kenyataan itu.

Danone Dumex turut memohon maaf atas kesulitan dan tekanan yang mungkin timbul akibat isu itu dan pengguna yang memiliki produk itu boleh menghubungi hotline 1-800-38-1038 untuk maklumat dan pertanyaan lanjut.