TELOK AIR TAWAR - Satu flashmob bertemakan Suara Solidariti bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diadakan di hadapan Masjid Daerah Seberang Perai Utara tadi.

Flashmob yang berlangsung kira-kira 20 minit itu membicarakan mengenai kesan-kesan ICERD kepada negara diadakan sekitar jam 2.30 petang selepas selesai solat Jumaat di masjid berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhammad Yusoff Mohd Nor berkata, flashmob ini diadakan bagi memberi kesedaran dan penerangan mengenai bahaya dan bahananya ICERD ini.

"Kita secara langsung mengingatkan orang Islam akan bahayakan ICERD yang akan menarik bukan sekadar Melayu, bukan sekadar hak bumiputera, malah akan menarik hak orang Islam, tentang raja-raja malah berkaitan bahasa Melayu.

"ICERD mengakibatkan kesan besar dalam sosio masyarakat itu sendiri yang mana selama ini berteraskan dan berprinsipkan perlembagaan yang sedia ada ia akan hancur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas flashmob di hadapan Masjid Daerah Seberang Perai Utara di sini tadi.

Katanya, banyak perkara yang akan memberi kesan sekiranya ICERD ini dilaksanakan.

"Kita nak ingatkan kepada masyarakat bahawa ICERD katanya ditolak tapi tidak ditolak dengan sepenuhnya, ini yang kita bimbangkan.

"Dan malangnya ada pihak-pihak yang berkepentingan masih lagi cuba membawa isu ICERD ini walaupun dibantah masyarakat, dan ini amat kita bimbangkan," katanya.

Jelasnya, beliau percaya isu ICERD ini bukan sahaja ditolak masyarakat Melayu malahan setiap kaum di negara ini.

"Selama ini kita hidup dalam aman dan harmoni, yang mana kebebasan dijamin oleh Perlembagaan sedia ada, semua bangsa mempunyai hak mereka tersendiri, dan masing-masing tidak pernah mempertikaikannya.

"Akan tetapi ada pihak yang cemburu dengan toleransi dan kesepakatan kita semua bangsa dalam hal ini, dan mereka cuba membawa ICERD yang kononnya membela walhal akan memberikan lebih banyak impak kepada kita," katanya.