ALOR SETAR - Individu mahupun NGO yang dikesan menyalahguna nama Exco Kedah diberi amaran supaya segera menghentikan perbuatan itu sekiranya enggan berdepan tindakan undang-undang.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya menerima aduan yang mengatakan terdapat individu tertentu mengakui mewakili Exco dan Adun Kedah untuk mengendalikan beberapa program termasuk menggunakan gambar mereka untuk kepentingan peribadi.

Menurutnya, amat dikesali apabila individu berkenaan turut menjanjikan habuan atau peruntukan tertentu dengan mengatur program melibatkan nama Exco dan Adun.

“Apabila perkara itu dimaklum, saya tidak tahu menahu berkenaan program yang dianjurkan. Saya harap semua pihak lebih berhati-hati supaya tidak tertipu, dan merujuk ke pejabat Exco di Wisma Darul Aman sebelum menandatangani apa-apa dokumen,” katanya.

Mohd Asmirul berkata, pihaknya turut dimaklumkan terdapat individu yang mengakui mewakili pejabat Exco Kedah dan mengenali rapat beliau dalam usaha mendapatkan projek atau manfaat di pejabat agensi kerajaan.

“Saya ingin tegaskan, kita tidak sokong mana-mana individu yang gunakan nama kami dalam permohonan projek kerajaan. Semua surat tawaran hendaklah secara rasmi dan bukan secara sokongan lisan,” katanya.

Adun Kubang Rotan itu berkata, semua Adun PH turut tidak dibenarkan mengeluarkan surat sokongan terhadap mana-mana projek, di mana ia merupakan satu kesalahan.

“Kerajaan negeri serius mahu amalkan tadbir urus yang baik dan utamakan integriti dalam semua peringkat. Kita kesal kerana di saat PH mahu terapkan nilai murni dalam pentadbiran, kita dicemari insiden sebegini,” katanya.

Menurutnya, difahamkan bukan beliau sahaja menjadi mangsa, malah beberapa Exco lain turut mengalami nasib sama.

“Antara kes yang saya alami, adalah terdapat NGO menggunakan nama saya menjanjikan sesuatu, sedangkan perkara itu tidak dalam pengetahuan saya. Saya mohon pihak berkenaan hentikan segera jika enggan diambil tindakan perundangan,” katanya.

Mohd Asmirul berkata, semua urusan rasmi seeloknya dirujuk kepada pegawai Exco sekiranya mereka didatangi individu mahupun NGO yang menawarkan sesuatu sebagai sokongan atau jaminan.