GEORGETOWN - Enam divisyen MCA Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya cadangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow untuk melakukan pertukaran kerusi parlimen di antara Batu Kawan dan Bayan Baru.

Pengerusi MCA Divisyen Bayan Baru, Datuk Ooi Siew Kim berkata, sebagai ketua di bahagian itu, beliau tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak termasuk dari Gerakan Pulau Pinang dan kepimpinan MCA negeri.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakannya dari divisyen lain tidak mengetahui tentang perbincangan yang kononnya telah dibuat sejak Datuk Chew Mei Fun memegang jawatan Pengerusi MCA Pulau Pinang dahulu.

“Saya, wakil Bayan Baru bersama lima divisyen lain iaitu Tanjung; Bukit Gelugor; Bukit Bendera, Balik Pulau dan Jelutong tidak bersetuju dengan kenyataan Chang Yeow kerana kami langsung tidak tahu pasal perkara ini.

“Kami tahu tentang perkara ini, hanya melalui media yang disiarkan semalam (kelmarin). Kami ada juga bertanya perkara ini kepada Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng dan beliau mengatakan bahawa perkara itu tidak benar (tidak pernah dibincangkan),” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Chang Yeow mengesahkan, berkemungkinan akan diadakan pertukaran kerusi antara MCA dan Gerakan di Pulau Pinang pada PRU14 nanti.

Sementara itu, Pengerusi MCA Divisyen Bukit Gelugor, Datuk Koay Kar Huah berkata, tindakan Chang Yeow yang membuat kenyataan tanpa berbincang dengan kepimpinan MCA negeri amat dikesali.

Kar Huah turut mempersoalkan tindakan Chang Yeow yang ingin membuat pertukaran kerusi di kawasan kuat MCA iaitu Bayan Baru.

“Mengapa beliau mahu menukar kerusi di kawasan yang mana MCA mendapat peratusan undi yang tinggi dalam pilihan raya lepas? Apa tujuan beliau?

“Saya amat terkejut dengan berita yang disiarkan semalam (kelmarin). Saya perlu menjawab dengan ahli parti kerana isu ini tidak pernah dibangkitkan. Saya lihat, pertukaran kerusi ini tidak logik,” katanya.

MCA akan bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Bukit Gelugor; Bayan Baru, Bagan dan Bukit Mertajam dalam PRU14 nanti.

Manakala bagi kerusi Dun, parti itu akan bertanding di 10 kawasan iaitu Air Putih; Pengkalan Kota; Komtar; Sri Delima; Paya Terubong; Sungai Puyu; Bagan Jermal, Berapit, Jawi dan Padang Lalang.

Sementara itu, Chang Yeow ketika dihubungi Sinar Harian mengakui perbincangan tentang perkara itu telah dibuat bersama Teik Cheng dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, beliau menafikan bahawa perkara itu sudah diputuskan yang mana, perbincangan masih dijalankan.

“Itu isu dalaman MCA. Perbincangan saya dibuat dengan pengerusi dan presiden MCA. Lagi pun, bukan saya umum, cuba baca kenyataan saya.

“Saya kata, berkemungkinan akan ada pertukaran kerusi. Perbincangan masih diadakan namun belum ada keputusan muktamad,” katanya.