KULIM - Kisah enam beranak yang hidup menumpang di runah pusaka arwah bapa mereka di Bagan Sena Labu Besar mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim.

Pegawainya, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata pihaknya telah pergi menemui keluarga terbabit dan menyiasat keadaan sebenar mereka.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rumah pusaka yang didiami keluarga terbabit memang perlu dibaik pulih kerana telah uzur.

"Kita telah ambil semua maklumat mereka, dan dapati memang rumah yang didiami mereka telah uzur dan perlu dibaik pulih.

"Kita juga telah serahkan wang bantuan secara sekali-beri untuk meringankan beban mereka sedikit.

"Kes ini juga telah rujuk kepada pejabat zakat daerah untuk proses baiki rumah dan melihat apa yang terbaik untuk mereka,"katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, JKM juga akan mempertimbangkan untuk beri elaun sara hidup bulanan selepas mengambil kira beberapa faktor lain termasuk kewangan ketua keluarga terbabit.

"Setakat ini kita tengok gaji Muhd Zamri Hussain melebihi pendapatan berkapita, tapi kita akan pertimbangan mengikut keperluan,"katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan enam beranak ini hidup menumpang di rumah pusaka arwah bapa mereka di Kampung Bagan  Sena, Labu Besar mohon bantuan kediaman lebih selesa.