JITRA - Hutan Lipur Bukit Wang sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah kawasan rekreasi oleh penduduk di sekitar Kubang Pasu.

Namun, di sebalik air terjun itu, mungkin tidak ramai yang tahu, ia menyimpan lipatan sejarah ketika di awal pendudukan kerajaan Inggeris suatu masa dahulu.

Pesara renjer Jabatan Perhutanan negeri, Ahmad Kasim, 83, berkata, dia mula ditugaskan di hutan berkenaan sejak 1 Mei 1957.

"Hutan ini mempunyai pelbagai khazanah yang bernilai termasuk sebuah empangan yang dibina pihak British pada zaman dahulu," katanya.

Mengimbau kembali kenangan lalu, menurutnya, setelah berundur tentera Siam dari Kedah Utara, kerajaan British pula mengambil alih.

"Pada masa ni, depa buat landasan kereta api dari Jitra ke Bukit Wang sebab masa tu kawasan ini dijadikan kawasan tadahan air untuk penduduk Alor Setar dan Jitra.

"Kereta api ni digunakan untuk membawa pasir simen, alat-alat dan pekerja dari negara India.

"Masa ini semua pelarian ketika tentera Siam serang dulu dah balik kampung masing-masing, suasana pun dah aman.

"Maka kat sinilah, terbinanya empangan atau kolam, yang masih ada sampai sekarang ini.

"Tapi kita dah tak guna, kat paip tu pun ada tulis lagi tahun 1913, iaitu tahun masa kolam ni dibina," katanya.

Dia yang turut mesra dipanggil Haji Harun berkata, empangan berkenaan mempunyai kedalaman sehingga 1.83 meter dan ia dijaga oleh orang kampung di sini di bawah Jabatan Kerja Raya.

Katanya, sebagai orang lama yang bertugas di hutan ini, dia sangat berharap hutan lipur ini dapat dipulihara semula.

"Banyak benda boleh dibangunkan di sini, boleh buat tapak perkhemahan untuk aktiviti sekolah, mini zoo dan macam -macam lagi untuk tarik pelancong luar.

"Lagipun kedudukan hutan lipur ni hanya 20 kilometer dari Alor Setar, kalau orang nak pi Bukit Kayu Hitam pun boleh singgah saja kat sini, dekat saja dengan lebuh raya. Tempat ni boleh jadi tarikan baharu," katanya.