KUALA NERANG - Ketibaan musim durian di sekitar Padang Terap adalah ditunggu–tunggu oleh ramai peminat raja buah itu bagi mendapatkan durian yang segar dengan harga berpatutan.

Oleh itu tidak hairanlah setiap hari semakin ramai penduduk dari luar mula  datang bagi mencari raja buah itu dari peniaga atau pemilik dusun.

Peniaga, Ahmad Yasin,73, dari Kampung Malau, Mukim Kurung Hitam berkata, durian pada musim kali ini semakin pulih dan orang ramai boleh menikmatinya selepas pengeluarannya terjejas sejak beberapa tahun lalu kerana cuaca.

Katanya, durian di sekitar Padang Terap ini mulai luruh sejak dua minggu lalu dan ini menyebabkan ramai warga luar mula datang bagi mendapat durian yang murah dan segar.

“Sekarang ini pemilik dusun menjual durian dengan harga RM4 atau RM5 sekilogram kepada peraih dan menjualnya dengan harga RM7 atau RM8 kepada orang ramai. Harga ini dikatakan akan turun dari semasa ke semasa kerana pengeluarannya semakin bertambah.

“Kebanyakan durian yang dihasilkan di kawasan ini adalah jenis kampung yang sangat diminati oleh orang ramai. Walaupun pelbagai jenis durian wujud sejak akhir ini, tetapi durian kampung tetap diminati setiap musim,” kata bapa kepada 11 anak itu.

Menurut Ahmad, pada awalnya dia hanya mampu mengumpul sebanyak 30kg sahaja tetapi kini pengeluarannya semakin bertambah hingga 100kg sehari.

Ramai yang sanggup datang jauh ke daerah itu bagi memburu raja buah itu kerana mahu yang segar jika berbanding yang dijual di bandar.

“Oleh kerana mahu menikmati durian yang segar ada peminat durian yang datang dari daerah berdekatan semata-mata mahu durian itu. Bagi memastikan mendapat buah yang segar mereka akan melihat dan memilih tangkal yang putih serta bergetah .

“Melalui teknik itu mereka akan lebih yakin untuk membelinya. Sebab itu mereka sanggup datang dari jauh walaupun memakan masa untuk sampai,” katanya yang berniaga durian sejak 50 tahun lalu.

Menurut Ahmad, durian pada tahun ini akan menjadi lebih murah lagi apabila bebanyak daerah lain turut membekalkan durian," katanya kepada Sinar Harian.