BUTTERWORTH - Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kejadian mayat seorang lelaki ditemukan dalam longkang di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat 2, Seberang Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berusia 40-an dan lelaki berumur 36 tahun itu ditahan secara berasingan di Seberang Jaya dan Permatang Pauh.

"Mereka ditahan tengah malam tadi dan awal pagi ini, polis percaya penahanan dua individu itu akan membantu menyelesaikan kes bunuh berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata wanita Indonesia itu merupakan pekerja kepada seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang ditahan semalam manakala lelaki 36 tahun yang ditahan itu merupakan rakan kepada mangsa.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, suspek pertama yang ditahan semalam itu mengaku telah menikam mangsa dengan pisau yang dibawanya ketika sedang bergelut dengan lelaki berkenaan serta rakannya semasa kejadian.

Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan tikaman dengan benda tajam di dadanya dan ketiga-tiga individu yang ditahan itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Mayat lelaki dikenali sebagai S. Prince Jevadurai, 30, itu ditemukan dalam longkang oleh orang awam dengan beberapa kesan kecederaan di kepala, dada dan tangan pada pukul 6.35 petang.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan selepas dia membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SANDAKAN - Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia selepas disyaki membunuh isterinya di rumah mereka di Kampung Sandak Batu 10 dekat sini, semalam.
  • PORT DICKSON - Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang lelaki pengusaha kedai cuci kereta.
  • TAIPING - Hanya kerana syak wasangka, seorang suami nekad memukul isterinya sehingga meninggal dunia dalam satu kejadian di Matang dekat sini, Khamis lalu.
  • KINABATANGAN - Seorang lelaki warga asing dipercayai suspek kes bunuh ditahan polis kurang 24 jam selepas memukul abang iparnya hingga mati di sebuah rumah di Ladang Mananggol dekat sini, pagi semalam.
  • KOTA TINGGI - [VIDEO] Seorang peniaga kedai runcit berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki awal bulan lalu.