KEPALA BATAS - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan dalam kejadian di Jalan Lahar Yooi di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi, mangsa Alias Mat Zain, 55, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat rempuhan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa daripada arah Lahar Yooi menghala ke Permatang Sungai Nyior tidak sempat mengelak lori yang diletakkan di tepi jalan dan terperosok di bawah lori terbabit.

“Ketika kemalangan berlaku aliran trafik di kawasan itu agak sibuk dan mangsa tidak sempat mengelak kenderaan terbabit menyebabkan dia merempuh bahagian kanan belakang lori terbabit.

“Mangsa yang berasal dari Padang Serai dan bekerja sebagai tukang cuci disahkan maut dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Noorzainy berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah bas yang sedang membuat pusingan U dalam kejadian di Jalan Perusahaan Perai 1 di sini.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa Munawir Marzuki, 32, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah yang sama iaitu dari Perai menuju ke Bukit Tengah.

Menurutnya, pemandu bas telah berhenti di tepi jalan bagi menurunkan penumpang sebelum bertindak membuat pusingan U di laluan berkenaan.

“Mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian tepi bas berkenaan dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya.