KUALA KETIL -  "Setiap kali solat, saya doa supaya dapat jumpa anak dalam mimpi," kata ibu kepada murid darjah empat yang maut ditimpa pokok kelapa sawit pada 25 Mac lalu.

Syarifah Md Isa, 37, berkata, dia sekeluarga masih merasai kehilangan Muhammad Jebat Norizan.

Menurutnya, pertemuan bersama Hang Jebat mengubat rindu sekalipun hanya dalam mimpi.

"Sejak dia tak ada, tiga kali saya mimpikan dia. Mimpi pertama pada awal Ramadan, mimpi kedua pada pertengahan Ramadan dan ketiga pada akhir puasa.

"Mimpi pertama saya dengar suaranya membaca al-Quran, sedap suaranya. Kedua dia balik ke rumah dan datang peluk dan mencium pipi kiri kanan. Mimpi akhir dia ada di seberang sungai dan melambai tangan," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kediamannya Kampung Kuala Bakong, kelmarin.

Terdahulu, Agro Bank cawangan Baling, Pertubuhan Kebajikan Penduduk daerah Baling (Perkeba) dan Sahabat Anak Baling tampil menziarahi keluarga bekas murid Sekolah Kebangsaan Sri Jemerli itu.

Syarifah berkata, suaminya, Norizan Ismail, 40, hingga kini tidak mampu melihat gambar arwah kerana sedih.

Nenek, Sofiah Yaacob,72, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu melaungkan azan di rumah dua hari sebelum kejadian.

"Dia berlatih bang (azan) depan kipas angin sebab Hang Jebat selalu ditugaskan azan di surau sekolah.

"Itulah hari terakhir tok dengar suara dia sebelum balik ke rumah di Padang Serai, Kulim," katanya.

Manakala, Pengurus Agro Bank cawangan Baling, Adli Dahari Abdul Rahman berkata, Agro Bank menyampaikan sumbangan RM22,000 kepada keluarga tersebut.

"Sumbangan ini ialah sebagai salah satu usaha membantu keluarga selepas kehilangan insan tersayang.

"Atas alternatif, waris keluarga telah mengambil pakej Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus (Nadwan)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sahabat Anak Baling (SAB), Muhammad Lukman Mahmud berkata, setiap individu terutamanya mereka yang bekerja dalam sektor terdedah dengan kemalangan digalakkan memiliki perlindungan takaful kerana ia memberi manfaat sekiranya berlaku perkara tidak diigini.

Sinar Harian pada 26 Mac melaporkan Hang Jebat ditimpa pokok kelapa sawit ketika sedang bermain bersama lima rakannya di atas timbunan pokok berkenaan yang ditebang.