KOTA SETAR - Gerakan Pembela Ummah Kedah (Ummah Kedah) mendesak bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam atas cadangannya untuk menutup sekolah tahfiz.

Pengerusi Ummah Kedah, Noor Hakimi Abdul Halim berkata, desakan bekas menteri itu supaya kerajaan menutup sekolah tahfiz berkenaan adalah sesuatu yang melampau dan biadab, sekali gus menggores perasaan majoriti umat Islam di negara ini.

“Jadi, Ummah Kedah mendesak supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam. Malah, Zainuddin dinasihatkan supaya lebih berhati-hati di dalam membuat kenyataan di masa depan.

“Kami memandang serius cadangan itu kerana ia dizahirkan seorang bekas menteri yang beragama Islam,” katanya.

Kata beliau, pihaknya menegaskan sebarang usaha meruntuh institusi Islam seperti sekolah tahfiz oleh mana-mana pihak akan ditentang habis-habisan.

“Selain melahirkan puluhan ribu insan yang celik al-Quran, pusat pengajian itu juga melahirkan insan yang berakhlak mulia serta bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

"Jadi, mengapa Zainuddin ingin bermusuh dengan sekolah tahfiz,” katanya.

Beliau berkata, jika Zainuddin tidak bersetuju dengan sekolah tahfiz, memadailah setakat pendirian peribadinya, namun bukannya mendesak secara terbuka supaya pihak kerajaan menutup sekolah tahfiz.

Katanya, beliau sepatutnya malu bahawa kewujudan sekolah tahfiz dalam negara adalah hasil sumbangan dan sokongan umat Islam yang ingin melihat ia menjadi institusi pendidikan alternatif untuk membangun modal insan yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

“Ummah Kedah berharap supaya Zainuddin tidak mencurah minyak ke dalam api. Jika ia terbakar akan mengundang suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

"Jadilah insan (bekas menteri) yang berakal jernih dan positif dalam menanggapi isu berkaitan agama Islam di negara ini,” katanya.