KUALA NERANG - Markas Enam Briged berjaya mematahkan cubaan menyeludup 240 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM21,600 di sekitar Pos Sahara, semalam.

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, sembilan guni putih tersebut ditemui di kawasan semak ketika pasukan rondaan yang diketuai Sarjan Jurus Jaimis dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) melakukan rondaan pada jam 11.30 pagi.

“Daun ketum itu dipercayai ditinggalkan di kawasan tersebut sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.

Menurutnya, semua daun ketum dirampas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan selanjutnya.

Dalam masa sama, Abdul Aziz mengingatkan pasukan beroperasi supaya sentiasa berwaspada walaupun pada Ramadan kerana aktiviti penyeludupan dijangka akan berterusan berikutan faktor harga daun yang semakin meningkat.