GUAR CHEMPEDAK - Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat) meminta agar kerajaan baharu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) prihatin akan nasib mereka.

Presiden Daulat, Mohamad Shabudin Teh berkata, kebanyakan ahli Daulat sudah mencapai status warga emas malah ada dalam kalangan ahli sudah tidak mampu bekerja dan tidak mempunyai pendapatan.

"Saya mewakili ahli Daulat sangat mengharapkan kerajaan baharu untuk melakukan sesuatu terutama dalam pemberian insentif secara bulanan seperti yang dijanjikan kerajaan terdahulu," katanya.

Menurut Mohamad Shabudin, pada 31 Julai tahun lalu, satu perhimpunan solidariti veteran tentera di Sungai Besi Convention Centre telah diadakan.

"Dalam perhimpunan itu, seramai 15,000 veteran tentera tidak berpencen berkumpul.

"Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengistiharkan bantuan bakti negara untuk dibayar pada setiap tahun sebanyak RM1,200 pada Disember," katanya.

Katanya, setelah kerajaan bertukar kepada PH, golongan veteran tertanya tanya adakah bantuan bakti negara akan diberi seperti tahun sebelum ini.

"Saya sangat berharap jasa baik Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk meneruskan pemberian ini.

"Jika tidak diteruskan ia sudah pastinya menghampakan kelompok veteran yang tidak mempunyai pencen ini," katanya.

Katanya, jumlah golongan ini di seluruh negara dianggarkan 250,000 orang termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan veteran ini telah berumur dan tidak sihat serta menghadapi bermacam jenis penyakit kronik menyebabkan mereka tidak mampu bekerja.

"Sekiranya insentif itu diteruskan dapatlah membantu kami merasa sedikit selesa untuk membeli barangan keperluan dan anak sekolah serta keluarga," katanya.