ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dilantik sebagai Mufti Kedah yang baharu menggantikan Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, berkuatkuasa 19 Julai 2017.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Syeikh Fadzil merupakan calon paling sesuai untuk dilantik mengetuai Jabatan Mufti di Kedah menggantikan Muhamad Baderudin yang tamat kontrak selepas berkhidmat sejak 2009.

“Saya ucapkan tahniah kepada Syeikh Fadzil yang telah mendapat perkenan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk dilantik sebagai mufti kerajaan negeri yang baharu. Penghargaan juga diberikan kepada Muhamad Baderudin yang berkhidmat dengan cemerlang dalam mengangkat martabat Islam di Kedah ke tahap yang terbaik,” katanya.

Syeikh Fadzil, 68, ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas kepercayaan dan amanah diberikan.

“Saya belum melakukan sebarang persediaan kerana tak sangka dilantik. Kelmarin saya melapor diri di pejabat mufti dan belum sempat membelek fail-fail dan isu berkaitan kerana bekerja separuh hari. insya-ALLAH dalam seminggu dua ini, pasti dapat meneliti isu-isu berkaitan,” katanya.

Menurut Tokoh Dakwah Negeri Kedah 2005 ini, beliau akan mengkaji dan memperkasakan asas-asas yang ditinggalkan oleh mufti terdahulu, selain menilai isu yang harus diberikan tumpuan.

“Apa yang harus diteruskan, atau jadi tumpuan akan saya teliti kelak. Apa jua perancangan mungkin dalam seminggu dua ini akan lebih fokus,” katanya.

Syeikh Fadzil yang juga Ahli Majlis Agama Islam Kedah mendapat pendidikan dari Universiti Al-Azhar dalam Pengajian Tafsir dan Ulum Quran.

Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah ini juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji/ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.