PARIT- Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKM) merancang untuk membina 50 unit rumah sementara kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Kota Palu, Indonesia, menerusi Misi Sukarelawan, yang akan berlepas ke sana pada 21 November ini.

Pengerusinya Ahmad Umair Zulkefli berkata kutipan derma dari kalangan rakyat Malaysia yang dilancarkan yayasan itu berjaya mengumpulkan dana mencecah RM150,000 bagi tujuan berkenaan, namun menurutnya pembinaan unit-unit rumah itu akan memerlukan kos sekitar RM250,000.

“Kami masih terus mengutip sumbangan menerusi laman sosial dan kami yakin mampu mengutip RM250,000 sebelum misi sukarelawan bermula kerana setiap hari kutipan sumbangan mencecah RM10,000,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis hi-tea yayasan berkenaan di sini hari ini.

“Misi selama lima hari itu dilancarkan bagi membantu dan meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam di kawasan berkenaan, selain berusaha mengeratkan hubungan serumpun Indonesia-Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata misi sukarelawan itu dianjurkan dengan kerjasama Rumah Zakat Indonesia dan Komuniti Generasi Bermanfaat (Gema) Indonesia, dan menurutnya enam anggota YDKM dijangka menyertai misi itu.

Menurut Ahmad Umair, ini adalah kali pertama YDKM menjayakan misi ke luar negara bagi membantu mangsa bencana, walaupun sebelum ini ia pernah menganjurkan beberapa misi sukarelawan di dalam negara, termasuk ketika bencana banjir melanda beberapa negeri tahun lalu.

“Kami akan memperbanyakkan lagi misi sukarelawan dalam usaha membantu masyarakat yang terlibat dalam bencana terutama golongan muslim dan akan menjalankan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Umair berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan orang ramai khususnya dari kalangan generasi muda pelbagai kaum untuk menjadi anggota sukarelawan YDKM.

Katanya, sehingga kini YDKM mempunyai 300 anggota berdaftar dan 2,000 sukarelawan dari seluruh negara sejak ia ditubuhkan pada Mei 2014.

“Tujuan utama yayasan ini ditubuhkan bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan dan kami bukan sahaja mengadakan misi sukarelawan, tetapi turut mengadakan program mentor dan motivasi bagi membentuk jati diri serta memperhalusi hala tuju anak muda,” katanya. - Bernama.