• Cemas dilanda ribut Bumbung rumah kedai tercabut dilanda ribut.
  • Cemas dilanda ribut Papan kenyataan tumbang di simpang empat lampu Isyarat bandar baru.
1 /

GUA MUSANG – Kejadian ribut dua hari berturut-turut di sekitar bandar ini mengakibatkan beberapa papan kenyataan di tepi jalan tumbang, atap rumah tercabut dan kabel pencawang elektrik meletup sebelum terbakar menyebabkan penduduk dan pengguna jalan raya cemas.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 6 petang yang serentak dengan hujan lebat itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku walaupun percikan api dari kabel elektrik yang terbakar itu hampir terkena beberapa kenderaan yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Kejadian kabel elektrik terbakar itu berlaku di pencawang yang terletak 20 meter di tepi jalan di Kilometer 1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, menyebabkan kebanyakan pengguna cemas terdengar tiga letupan kuat bersama percikan air ke arah jalan raya itu.

Kebanyakan pengguna masing-masing sempat mengelak kenderaan mereka sebelum disusuli dengan kebakaran kabel dalam keadaan hujan lebat, tetapi keadaan kebakaran itu semakin reda sejam kemudian.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang kelmarin itu dipercayai pencawang terbabit dipanah petir yang kuat, namun penduduk di sekitar bandar ini tidak menerima sebarang gangguan bekalan elektrik kerana mungkin ia membabitkan kabel yang menyalurkan elektrik ke kawasan lain.

Dalam waktu yang sama sebahagian rumah kedai di Jalan Pulai Lama, dekat Kampung Batu Papan tercabut bumbung dilanda ribut dan merupakan kejadian kedua melanda rumah kedai terbabit selepas kejadian pertama petang Jumaat lalu.

Kejadian petang kelmarin itu membabitkan bumbung di bahagian depan manakala kejadian pertama dua hari sebelum itu pula bumbung bahagian dapur di samping berlaku kerosakan atap di bahagian tengah menyebabkan keadaan dalam rumah kedai berkenaan dipenuhi air hujan.

Menurut pemilik rumah kedai terbabit, Ab Rashid Awang, 43, ketika kejadian dia bersama isteri, Suria Yusoff, 33, dan dua anak sedang bersiap juadah berbuka puasa tiba-tiba bunyi dentuman kuat sebelum melihat bubung rumah kedainya tercabut.

Beliau berkata, nasib baik bumbung di bahagian depan rumah kedai itu yang tercabut terjatuh di kawasan lapang tepi jalan dan tidak menghempap keretanya yang terletak tidak jauh dari situ.

Katanya, dua minit selepas bumbung tercabut di susuli pula atap di bahagian bilik tidurnya tercabut menyebabkan pada malam kejadian terpaksa tidur diruang perniagaan dengan berselindung di bawah beberapa atap zink yang koyak.

“Kejadian pertama petang Rabu lalu membabitkan bumbung bahagian dapur dan belum lagi sempat membaikinya ditimpa pula kejadian serupa petang kelmarin membabitkan bumbung bahagian depan kedai hingga keadaan atap berselerak diterbangkan angin,” katanya.

Ab Rashid mengakui tidak mampu membaikinya dalam masa terdekat ini kerana sebulan bulan Ramadan ini tidak menjalankan perniagaan dan ditimpa dengan kejadian terbabit yang memerlukan banyak perbelanjaan.

Beliau merayu kepada kerajaan supaya dapat membantunya untuk membaiki bumbung rumah kedai itu yang dua kali dilanda ribut dan kini dia sekeluarga terpaksa berteduh di bawah bumbung yang bila-bila masa pula akan tercabut.

Seorang pengguna jalan raya, Fauzi Muhammad, 34, pula berkata, dalam kejadian petang Jumaat lalu pula dua papan kenyataan di simpang lampu isyarat di bandar baru, dekat sini, tumbang hampir menghempap kenderaan yang melalui kawasan terbabit.

Beliau berkata, papan kenyataan yang terbesar meletakan gambar bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu tumbang, tetapi tidak ada pengguna jalan raya terperangkap bawah papan kenyataan berkenaan.

“Memang ketika itu orang ramai sedang sibuk membeli belah juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan ketika perjalanan pula terkejut melihat kejadian ribut sebelum papan kenyataan terbabit tumbang,” katanya.

Menurutnya, semasa itu juga petir bersama hujan lebat hingga kebanyakan pengguna terpaksa berhenti kenderaan dit epi jalan kerana bimbang berdepan dengan  risiko kemalangan.