BUKIT KAYU HITAM - Inisiatif Jabatan Pertanian Malaysia dengan kerjasama Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP),Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menganjurkan penanaman  Mangga Harumanis terbesar iaitu sebanyak 4,005 pokok mangga secara serentak melayakkan mereka mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), hari ini.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata,sebelum ini kajian kesesuaian penanaman Mangga Harumanis di Bukit Tangga telah dijalankan dan hasilnya lokasi kawasan ini yang berdekatan Perlis dan Thailand sangat sesuai berdasarkan faktor iklim.

"Kawasan ini mengalami musim kemarau pada bulan Februari sehingga Mei dan cuacanya adalah panas dan kering pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam.

"Ini disebabkan oleh tiupan angin monsun timur laut yang bermula pada awal tahun dan berakhir pada Mac hingga Mei,"katanya, ketika ditemui pada majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) ,Penanaman Mangga Harumanis Terbesar Secara Serentak di Kolej Pertanian Malaysia, di sini.

Menurutnya, oleh itu, sebanyak 4,005 anak pokok mangga Harumanis telah disumbangkan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam secara serentak di atas tanah berkeluasan 32 hektar di sini.

"Program ini melibatkan 2,000 peserta yang terdiri daripada pelatih kolej,pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi serta TFNet yang turut bersama-sama menjayakan kempen "Planting 1 Million Fruit Trees".

"Penganjuran aktiviti ini sangat bermanfaat kepada pelatih kolej yang mana akan terlibat dengan aktiviti bersama Agen Pengembangan Jabatan Pertanian bermula dari peringkat penanaman, penyelenggaraan dan penuaian buah,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edward berkata, penanaman mangga harumanis yang dijalankan semalam berjaya memadam rekod lama yang sebelum ini dipegang oleh negeri Perlis pada 2015 iaitu sebanyak 2,000 pokok.

"Untuk kriteria melayakkan diri mencatat nama dalam MBOR ini kita lebih tekankan kepada bilangannya tetapi mesti siap dalam masa sehari.

"Seperti yang berlangsung pagi tadi kira-kira 2,000 peserta hanya mengambil masa kurang dari lima minit untuk menanam pokok mangga ini.

"Setiap peserta perlu menanam dua anak pokok yang mana semua sudah disiapkan cuma mereka hanya perlu tanam dan padatkan tanah,"katanya.

Seorang peserta program, Nur Nafiesha Anessa Yusdi, 18 dari kursus Ruminan Tahap 1 berkata, dia berasa bertuah kerana dapat turut serta dalam program yang tercatat dalam MBOR itu.

"Ini adalah program yang sangat bermakna bagi pelatih di sini. Kami bersepakat dan saling membantu untuk memastikan program ini berjaya.

"Program ini juga secara tak langsung menyuntik semangat pelatih di sini untuk mencipta nama dalam MBOR untuk program-program yang akan datang,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :