ALOR SETAR - Amanah Kedah menyokong cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melantik Speaker dan Timbalan Speaker Dun dalam kalangan ahli PKR dan Bersatu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengumuman Mukhriz itu adalah hasil kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Harapan peringkat negeri, baru-baru ini.

“Tidak timbul lagi sebarang masalah selepas perlantikan itu dan Amanah Kedah mendokong satu keputusan yang dibuat secara kolektif. Saya yakin mereka yang terpilih itu mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui semasa Majlis Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri di kediamannya di Jalan Langgar.

Mahfuz yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berlaku walaupun pembangkang cuba mendesak supaya diadakan jika masalah itu tidak dicapai.

“Jika masalah pelantikan speaker dan timbalan tidak dapat capai kuasa akan dikembalikan kepada rakyat. Adakah pembangkang yakin akan berjaya pada PRN nanti?

“Pembangkang perlu sedar bahawa kerajaan pusat sekarang adalah di bawah Harapan dan rakyat pasti akan memilihnya kerana bagi memudahkan segala pengurusan.

"Adalah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jika PRN berlaku, pembangkang pasti akan kalah serta hilang beberapa lagi kerusi,” katanya.