BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Bukit Mertajam atas tuduhan menyebabkan kematian anaknya pada 15 Februari lalu.

Muhamad Firdaus Saidon, 22, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Firdaus didakwa melakukan bunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang bayi, Nurul Ain Umairah Muhammad di sebuah rumah di Kampung Tok Panjang Bukit Tengah di sini, kira-kira jam 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muhamad Anas menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula untuk penyerahan laporan kimia, bedah siasat dan forensik.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.